Tuesday 21 November 2017

Apa itu Takaful

Perkataan “Takaful” berasal daripada kata kerja bahasa Arab “kafala” yang bermaksud saling menjamin. Oleh itu, pakatan yang melibatkan sekurang-kurangnya antara dua pihak yang sama-sama bersetuju untuk menjamin satu sama lain sekiranya berlaku kehilangan atau kerugian, sebagai akibat daripada ditimpa bencana mentakrifkan istilah “Takaful”.
Menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) Takaful bermaksud:
“Suatu pengaturan yang berdasarkan saling membantu di mana peserta Takaful bersetuju untuk menyumbang kepada kumpulan wang bersama yang memberi manfaat kewangan bersama yang boleh dibayar kepada peserta Takaful atau waris mereka apabila berlaku keadaan-keadaan yang telah dipersetujui terlebih dahulu”.

Pada dasarnya, sistem Takaful adalah berasaskan saling bekerjasama, bertanggungjawab, jaminan, perlindungan dan membantu dalam kalangan para pesertanya. Amalan yang sama boleh dilihat dalam amalan al-aqilah di bawah adat kebiasaan suku bangsa Arab sebelum kedatangan Islam di mana seorang pembunuh dikehendaki membayar wang darah (diyat) sebagai pampasan kepada keluarga si mati. Doktrin ini telah dibenarkan oleh Nabi Muhammad (saw) dan seterusnya dijadikan mandatori semasa Khalifah kedua, Saidina Umar Al Khatab (ra).

1. Asas Kerjasama
Takaful, adalah berasaskan konsep ta’awun bermaksud saling membantu. Para peserta skim Takaful bersetuju untuk membantu antara satu sama lain dalam berbentuk kewangan dalam perkara keperluan yang khusus (sebagaimana yang ditakrifkan dalam kontrak Takaful) dengan menyumbang atau menderma kepada satu kumpulan wang yang umum.   Konsep ini adalah berdasarkan perintah Allah (SWT) menerusi ayat yang berikut:
“… Bekerjasamalah kamu dalam kebaikan dan ketakwaan, tetapi jangan kamu membantu satu sama lain dalam dosa dan permusuhan”  (al-Maidah: 2)
Nabi Muhammad (saw) menegaskan dalam hadis yang berikut:
“Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi dia membantu orang lain”  (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)

2.  Asas Tanggungjawab
Seiring dengan disiplin syariah ke atas Takaful (yang bermaksud berkongsi tanggungjawab dan berkongsi jaminan), para peserta bersetuju untuk memberi pampasan sekiranya berlaku musibah.
Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang yang beriman, antara satu sama lain, adalah seperti jasad, apabila salah satu daripada bahagian-bahagian yang ditimpa kesakitan, maka seluruh jasad akan merasainya.  (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
3.  Asas Saling Melindungi
Para peserta Skim Takaful bersetuju untuk saling bertanggungjawab atau berkongsi tanggungjawab.
Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan.  (Diriwayatkan oleh Ahmad)

No comments:

Post a Comment