Sunday, 10 December 2017

Risiko dan Takaful

Terdapat banyak salah faham dalam kalangan umat Islam terhadap konsep takdir. Sesetengah orang Islam percaya bahawa masa depan adalah di tangan Allah (SWT), apabila mereka menghadapi mentaliti takdir dengan meletakkan diri mereka dalam doktrin ini, iaitu sama ada seseorang itu kaya atau miskin, gembira atau sedih, semuanya ditakdirkan oleh Allah (SWT). Akibat salah faham yang nyata ini, apa-apa usaha atau strategi pengurusan risiko untuk melindungi aset atau kehidupan telah dianggap sebagai bertentangan dengan takdir dan kehendak Allah (SWT). 



Dalam perancangan kewangan Islam, Takaful ialah satu cara untuk mengurangkan risiko kerugian kewangan akibat kemalangan dan musibah (Iqtisad Al-Islamy, 2003). Pada hakikatnya, Pelan Takaful ialah alternatif kepada insurans dalam perancangan kewangan konvensional. Dalam pelan Takaful, peserta akan membayar sejumlah wang yang ditentukan sebagai caruman (dikenali sebagai premium) sebahagiannya kepada dana risiko (peserta akaun khas) dengan menggunakan konsep Tabbaru' (derma) dan sebahagiannya kepada pihak lain (dikenali sebagai pengendali Takaful) dengan persetujuan bersama bahawasanya Pengendali Takaful adalah di bawah tanggungjawab dari segi undang-undang untuk memberikan peruntukan untuk perlindungan kewangan kepada peserta terhadap kerugian yang tidak dijangkakan, sekiranya risiko itu berlaku dalam tempoh yang telah dipersetujui. 

Dalam Takaful, risiko daripada individu atau organisasi disebarkan atau dikongsi dengan individu atau organisasi lain yang mempunyai corak yang sama secara relatif. Individu atau organisasi yang mengambil bahagian dalam skim ini akan memberikan caruman kepada dana Takaful. Sekiranya sesuatu risiko berlaku, mereka akan menerima pulangan daripada dana Takaful untuk menampung kerugian yang telah dialami mereka. 


Tuesday, 21 November 2017

Apa itu Takaful

Perkataan “Takaful” berasal daripada kata kerja bahasa Arab “kafala” yang bermaksud saling menjamin. Oleh itu, pakatan yang melibatkan sekurang-kurangnya antara dua pihak yang sama-sama bersetuju untuk menjamin satu sama lain sekiranya berlaku kehilangan atau kerugian, sebagai akibat daripada ditimpa bencana mentakrifkan istilah “Takaful”.
Menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) Takaful bermaksud:
“Suatu pengaturan yang berdasarkan saling membantu di mana peserta Takaful bersetuju untuk menyumbang kepada kumpulan wang bersama yang memberi manfaat kewangan bersama yang boleh dibayar kepada peserta Takaful atau waris mereka apabila berlaku keadaan-keadaan yang telah dipersetujui terlebih dahulu”.

Pada dasarnya, sistem Takaful adalah berasaskan saling bekerjasama, bertanggungjawab, jaminan, perlindungan dan membantu dalam kalangan para pesertanya. Amalan yang sama boleh dilihat dalam amalan al-aqilah di bawah adat kebiasaan suku bangsa Arab sebelum kedatangan Islam di mana seorang pembunuh dikehendaki membayar wang darah (diyat) sebagai pampasan kepada keluarga si mati. Doktrin ini telah dibenarkan oleh Nabi Muhammad (saw) dan seterusnya dijadikan mandatori semasa Khalifah kedua, Saidina Umar Al Khatab (ra).

1. Asas Kerjasama
Takaful, adalah berasaskan konsep ta’awun bermaksud saling membantu. Para peserta skim Takaful bersetuju untuk membantu antara satu sama lain dalam berbentuk kewangan dalam perkara keperluan yang khusus (sebagaimana yang ditakrifkan dalam kontrak Takaful) dengan menyumbang atau menderma kepada satu kumpulan wang yang umum.   Konsep ini adalah berdasarkan perintah Allah (SWT) menerusi ayat yang berikut:
“… Bekerjasamalah kamu dalam kebaikan dan ketakwaan, tetapi jangan kamu membantu satu sama lain dalam dosa dan permusuhan”  (al-Maidah: 2)
Nabi Muhammad (saw) menegaskan dalam hadis yang berikut:
“Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi dia membantu orang lain”  (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)

2.  Asas Tanggungjawab
Seiring dengan disiplin syariah ke atas Takaful (yang bermaksud berkongsi tanggungjawab dan berkongsi jaminan), para peserta bersetuju untuk memberi pampasan sekiranya berlaku musibah.
Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang yang beriman, antara satu sama lain, adalah seperti jasad, apabila salah satu daripada bahagian-bahagian yang ditimpa kesakitan, maka seluruh jasad akan merasainya.  (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
3.  Asas Saling Melindungi
Para peserta Skim Takaful bersetuju untuk saling bertanggungjawab atau berkongsi tanggungjawab.
Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan.  (Diriwayatkan oleh Ahmad)

The Beginning

Bismillah
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.
Saya mulakan dengan ucapan bismillah dan salam perkenalan kepada semua. InsyaAllah melalui medium ini, saya akan berkongsi serba sedikit tentang Takaful secara menyeluruh dengan anda semua.
Sebagai “daie” atau pun “duta kecil” dalam menyebarkan info-info berkenaan Takaful, diharap perkongsian yang tidak seberapa ini dapat membuka minda terutamanya umat Islam itu sendiri mengenai Takaful.
Akhir kata, semoga page ini mampu memberi manfaat kepada semua, InsyaAllah.